LONDON, 7 Ogos - Perusuh mengambil  kesempatan ke atas kematian seorang lelaki dipercayai ditembak oleh  pihak polis Metropolitan London, mengakibatkan demonstrasi aman bertukar  menjadi keganasan dengan gedung perniagaan menjadi mangsa kebakaran  akibat letupan bom petrol.
Keganasan tercetus  setelah perusuh membantah sikap pihak berkuasa menembak Mark Duggan yang  berada di dalam teksi, turut dipercayai anggota kongsi gelap di kota  London.
Suruhanjaya Bebas Aduan Polis melaporkan pihak polis  menahan teksi yang dinaiki Duggan dan tembakan dilepaskan ke arah  beliau. Walaubagaimanapun, suruhanjaya tersebut tidak menyebut siapa  yang melepaskan tembakan dan mengapa teksi berkenaan ditahan.
"Kematian Mark Duggan amat dikesali," ujar Komander Adrian Hanstock dalam satu kenyataan di sidang media. "Peristiwa tersebut adalah suatu tragedi ngeri, namun itu tidak memberi hak kepada penjenayah untuk memusnahkan perniagaan di sini."
Perusuh  mengambil kesempatan dengan membakar kenderaan polis, bas dan bangunan  awam sebagai tanda protes kematian Duggan. Perusuh juga turut melontar  bom petrol dan batu ke arah polis setelah sekatan jalanraya dilakukan.
"Rusuhan yang berlaku malam tadi di Tottenham tidak boleh diterima sama sekali," kenyataan rasmi dari Downing Street (kediaman Perdana Menteri). "Tidak ada justifikasi tindakan keganasan terhadap polis, awam dan kerosakan harta benda."
Bantahan terhadap pembunuhan Duggan bermula secara aman  pada malam Sabtu apabila 30 rakan mendiang serta ahli keluarga  berkumpul diluar balai polis Tottenham untuk menyampaikan memo bantahan.
"Tidak  ada petunjuk menandakan bantahan akan bertukar menjadi keganasan dan  kejadian jenayah. Kami percaya ada ada unsur-unsur luar yang mengambil  kesempatan untuk menguru-harakan keadaan dan tindakan keganasan ke atas  polis, pihak bomba dan kerosakan harta benda," kata Hanstock.
Tambah  beliau, pihak polis telah memperolehi pita video rakaman pengawasan  sulit insiden tersebut dan berjanji untuk membawa perusuh yang terlibat  ke muka pengadilan.
 Sumber: KL Pos & Twitter



 

0 comments:
Post a Comment